Sebagai menantu lelaki, anda mungin menghadapi masalah tentang bagaimana
untuk menyesuaikan diri dengan ibu mentua. Mungkin anda malu atau mungkin
anda tidak tahu bagaimana untuk mulakan hubungan tersebut. Isteri anda
boleh membantu anda.
Salah satu langkah yang boleh dilakukan ialah dengan meluangkan waktu untuk
lebih sering mengunjungi ibu mentua (jika tidak tinggal serumah) atau lebih
sering memperhatikan ibu mentua (jika tinggal serumah). Ini boleh dilakukan
bersama isteri anda atau tidak.
Anda dinasihatkan untuk lebih mengalah. Ibu mentua umumnya sudah berusia
lanjut. Mereka lebih sering menggunakan emosi daripada logikal. Ibu mentua
akan gembira jika anda kelihatan ada kemahuan untuk "menaunginya" dan
kelihatan bahawa anda mahu "berkongsi kasih" dengannya selain anak
perempuannya.
Kembangkan hubungan anda dengan mentua perempuan. Ini boleh dilakukan
misalnya dengan mengajaknya berbincang-bincang tentang hal yang
diminatinya, lebih sering mengunjunginya, mengajaknya berjalan-jalan dan
belajar untuk melayannya seperti ibu kandung anda sendiri. Hal ini dapat
membuatkan ibu mentua anda berasa bahawa anda memang memperhatikannya
sebagai individu yang dihargai dan diperlukan.
Libatkan mentua perempuan anda dalam setiap aktiviti yang anda lakukan jika
perlu. Misalnya, anda boleh memintanya tolong menemani anda dan anak anda
berjumpa doktor atau pergi berbelanja bersama.
Fokuskan perhatian anda terhadap hal-hal yang baik yang ada dalam dirinya
dan cuba untuk menghindari pemikiran negatif mengenai dirinya. Misalnya
anda tahu dia adalah 'tukang masak' yang hebat. Anda boleh melihat dari
sudut positifnya, misalnya anda dapat belajar masak walaupun anda seorang
menantu lelaki. Mungkin anda dapat menyediakan makanan yang lazat ketika
isteri berpantang dari bersalin. Secara tidak langsung anda telah
meringankan beban ibu mentua yang terpaksa menjaga isteri anda yang sedang
berpantang.
Jangan mengkritik ibu mentua di depan isteri anda. Walau macam mana pun
perangai ibu mentua, dia tetap ibu kandung isteri anda. Ingatlah pertalian
darah tidak akan hilang sampai bila-bilapun. Kata-kata negatif mengenai ibu
kandungnya hanya akan membuat isteri anda defensif dan semakin menjauh dari
anda. Empati dengannya.
Walaupun ibu mentua bukan sahabat anda tetapi cubalah selami bahawa dengan
masuknya anda ke dalam kehidupan isteri anda telah "memisahkan" dia dengan
anak yang dicintainya. Cuba bayangkan anda menjadi dia, tiba-tiba anak
perempuan anda meninggalkan diri anda.
Selalulah bersabar dan berdoa. Jangan anggap ibu mentua anda tidak suka
kepada anda. Kaji tentang diri anda sendiri. Mungkin selama ini ada sikap
anda yang memang membuat ibu mentua tidak berkenan walaupun bukan bererti
anda harus mengubah keperibadian anda. Ingat, jika anda dapat bersabar,
selalu memberi perhatian dan sikap positif terhadap ibu mentua,
lama-kelamaan ibu mentua pun akan lembut hatinya.
Ingatlah, jika perilaku negatif dibalas negatif maka seringkali hasilnya
tidak menggembirakan. Memang kebanyakan lelaki tidak pandai menyesuaikan
diri dengan ibu mentua. Yang sering terjadi mereka lalu menghindarkan diri
sejauh-jauhnya dari ibu mentua yang dianggap merumitkan suasana.
Istilah "mengambil hati mentua" itu ternyata ada benarnya juga. Fikirkan
juga suatu hari nanti isteri anda akan menjadi seorang ibu mentua apabila
anak anda kebetulannya perempuan. Fikirkan bagaimana nasib isteri anda
nanti.
Hidup akan semakin mudah jika dari awal anda telah menetapkan
batasan-batasan yang tegas antara isteri anda dan ibu kandungnya. Misalnya,
tidak membiasakan ibu kandungnya untuk mengurus segala keperluannya atau
meminta ibu kandungnya untuk mengatur kewangan anda berdua.
Jika kelakuan ibu mentua sudah melebihi batasnya, misalnya sudah terlalu
ikut campur urusan rumah tangga anda atau sudah keterlaluan, maka kini
saatnya anda minta isteri anda untuk "menegur" ibu kandungnya. Tentu sahaja
dengan kata-kata yang sesuai. Kalau anaknya sendiri yang menegur, tentu si
ibu mentua akan cepat memaafkan dan melupakannya. Lain halnya jika anda
yang mengatakannya sendiri kepada ibu mentua. Kemungkinan hubungan anda
dengan dia akan menjadi suram dan kata-kata anda itu mungkin tidak dapat
dilupakan.
Jika pertengkaran antara ibu mentua dan menantu perempuannya tidak dapat
dihindari, suami sebaiknya menjadi orang tengah yang adil. Katakan yang
benar adalah benar dan yang salah adalah salah. Selalulah mengambil hati
ibu mentua anda. Mungkin dengan membelikan ole-ole setiap kali anda
bertugas di luar daerah. Misalnya, anda membelikan kain batik yang
kualitiya sama dengan apa yang anda belikan untuk isteri anda. Lihatlah
reaksi di wajahnya. Selamat mencuba.
No comments:
Post a Comment